Saturday, November 6, 2010

Bersedia ke belum ni?

Aku dalam masalah kini, bukanlah masalah kritikal macam banjir di Perlis, Kedah semua tu, bukan juga masalah gunung Merapi nak meletup tu. Cuma masalah nak habiskan tesis aku.
Sebenarnya, ikutkan tak banyak dah, tinggal bab 5 je, tapi tak tahu kenapa hati rasa berat, otak rasa malas nak habiskan.
Adakah itu perkara biasa bagi mereka yang berada di alam tahun akhir pengajian ini. Adakah itu menunjukkan aku masih sayang nak tinggalkan UPM ni.
Dah 4 tahun setengah aku di sini, macam-macam benda berlaku sepanjang tempoh tu. Lama masa 4 tahun tu, kalau naik kereta ulang alik dari sini ke rumah aku dalam tempoh tu, berapa ratus ribu kali agaknya ya. Tak pernah pula nak kira.
Tapi nak cakap, setengah sisi diri aku beriya nak tinggalkan UPM, nak habiskan belajar cepat-cepat untuk mulakan alam pekerjaan pula. Nak mulakan kehidupan. Yelah, usia pun makin meningkat, dah cecah 24 jadi nak tak nak memang alam pekerjaan dah memanggil mari.
Tapi, lagi satu sisi macam tak nak itu berlaku. Macam tak bersedia lagi nak tempuhi alam pekerjaan itu. Macam rasa banyak lagi benda nak buat kat UPM ni.
Apa pun, aku tahu masanya dah tiba untuk aku beredar dari sini. Boleh kata, kini bukan lagi masa aku. Masa aku dah berlalu. Kini masa orang lain pula di universiti ini. Masa aku kini hanya bergelar memori yang tersimpan rapi dalam kotak fikiran ini.
Bersediakah aku dengan semua ini? Jawapannya terserah kepada aku untuk mencarinya...

Tuesday, August 10, 2010

Selamat berpuasa semua

Ramadhan tiba lagi. Sedar tak sedar begitu cepat masa berlalu. Terasa macam baru semalam aku menyambut Ramadhan, hari ni dah Ramadhan lagi.
Tidak, aku tidak mengeluh. Kenapa nak mengeluh ketibaan bulan mulia ini. Cuma nak kata masa berlalu begitu pantas.
Mungkin ini Ramadhan terakhir aku di UPM. Selepas ini tak tahu akan sambut Ramadhan di mana pula. Namun, kenangan berpuasa di sini antara pengalaman manis aku bersama rakan-rakan.
Kepada semua umat Islam, selamat berpuasa. Hayatilah keberkatan yang ada dalam bulan mulia ini ya.

Tuesday, July 27, 2010

Bidadari itu sudah berada di kayangan lain

Aku bertanya kepada seorang kawan ketika melepak bersamanya di kedai makan terkenal di Serdang.
"Kenapa kau tak komen blog aku, hari tu beriya-iya menyuruh aku menulis semula,". Sambil menghirup teh tarik aku berkata kepadanya.
Dia dengan muka selamba, memaling dan berkata.
"Blog kau tak best, kau tulis isu serius. Tulislah tentang bidadari macam dulu, baru best nak komen, hahaha,". Dia ketawa dan menyambung makan nasi ayam kesukaannya.
"Alah, bidadari tu kisah lama r, lagipun dia dah berpindah jauh,". Aku memandangnya serius dan menambah lagi.
"Dahlah dia tak pernah nak layan semua mesej aku, mana ada mood nak tulis bidadari tu,". Sedikit kecewa, tetapi bukan kecewa sebab mesej tak dibalas, tapi sebab memang aku dah tiada idea nak menulis.
Pada blog edisi lama dulu, cerita banyak seputar bidadari. Ya, kerana ketika itu dia masih di sini, di kayangan ini.
Tapi, sekarang dia dah terbang jauh berpindah ke kayangan baru. Aku tidak dapat mengikutinya kerana terikat dengan komitmen dan kontrak di kayangan lama ini.
Dah lah baru naik pangkat sebagai Ketua Penglipur Lara Istana, justeru aku tidak boleh berbuat apa.
Jadi, kepada kawan aku itu, kalau kau baca entri ini, (aku harap kau akan baca), jangan khuatir, aku akan menulis lagi mengenai bidadari baru walaupun masih dalam proses pencarian. tapi aku yakin akan tetap menjumpainya. hehehehe

Friday, July 23, 2010

4 tahun masih tak cukup rupanya

"Hang dah ada asas, tu yang penting".
Aku senyap, memikirkan jawapan yang sesuai untuk membalas.
"Alah Abang Bidi, saya bukan belajar habis pun, separuh jalan je, kira produk gagal la ni, hahaha," aku cuba berjenaka dengan rakan kerjaku yang selayaknya aku panggil ayah itu.
"Iyalah, tapi hang dah ada asas, tu dah cukup penting untuk membawa hang daripada tak sesat," balasnya serius.
Aku terdiam lagi, memikirkan apa yang dikatakan Abang Bidi itu.
Benar, ada kebenaran apa yang dikatakannya kepada aku.
Walaupun hanya 4 tahun di situ, namun ia sudah mencukupi untuk aku membawa diri mengharungi cabaran dunia yang penuh dugaan ini.
"Hang kalau tak amalkan apa yang hang belajar dulu, rugi, kalau hang masuk UMNO habislah hang," tambahnya lagi.
Sudah, masuk ke politik pulak.
Tak pernah terlintas untuk menceburi politik, masih belum bersedia, benar mungkin aku masih kekurangan kesedaran politik.
Sama seperti orang muda lain, menganggap politik hanya untuk orang tua.
Berbalik kepada isu awal, kata-kata itu terus bermain-main dalam benak otakku sampai sekarang.
Jika yang asas pun sudah berani aku tinggalkan, apatah lagi perkara yang dilarang oleh agamaku.
Mungkin 4 tahun itu masih tidak mencukup untuk membekalkan aku dengan kekuatan untuk menghadapai godaan dunia.

Friday, July 16, 2010

"Ringgit menguasai segala-galanya"

Romantik. Itu adalah antara intipati yang ada dalam pementasan teater muzikal Uda dan Dara yang sempat aku tonton pada malam tadi di Istana Budaya.
Kisah cinta antara dua kekasih, Uda dan Dara lakonan Razali Hussain dan Misha Omar adalah antara daya penarik untuk mengajak orang datang menonton, tetapi bukan bagi aku kerana aku lebih tertarik dengan Uda dan Dara itu sendiri.
Sebabnya ia adalah karya sasterawan negara yang cukup di segani dan masih diingati sehingga kini lewat karya-karyanya yang cukup berkesan kepada pembacanya.
Beliau turut dikenali sebagai seorang yang romantis dalam karyanya, antara karya lainnya yang terkenal termasuk puisi Ke Makam Bonda.
Usman Awang (kini allahyarham) adalah antara penulis hebat di Malaysia, karya-karyanya sering mendapat perhatian ramai sama ada pada peringkat nasional atau antarabangsa.
Berbalik kepada teater ini yang juga adalah nukilan penerima SEA Write Award tahun 1982 itu, ia mengisahkan percintaan Uda, anak petani miskin dan Dara, anak orang kaya.
Walaupun tahu perbezaan darjat, namun ia bukan penghalang kepada percintaan mereka.
Namun, ia mendapat tentangan daripada ibu Dara yang menganggap Uda tidak layak untuk Dara dan tidak mampu memberi kebahagiaan kepadanya kerana tidak mempunyai Ringgit.
Ya. Persoalan ringgit sering dilontarkan dalam cerita ini, aku anggap ia adalah persoalan utama yang ingin diketengahkan.
Dialog Uda sewaktu berbicara dengan Dara mengenai ringgit ini juga menarik perhatianku.
"Ringgit mampu menguasai segala-galanya"
"Ringgit mampu membeli manusia"
Itu adalah bait-bait dialog yang aku masih ingat.
Benar, pada zaman dulu orang yang mempunyai ringgit (baca : wang dan harta) mampu memiliki apa yang mereka mahu. Mereka boleh membeli kuasa dan darjat.
Ia sebenarnya turut berlaku pada zaman sekarang di mana orang kaya mampu melakukan apa yang mereka mahu, malah mampu mempengaruhi keputusan yang dibuat dalam negara.
Ini yang berlaku apabila Alang Bakhil, orang kaya yang mengambil kesempatan daripada kesusahan penduduk kampung dengan memeras mereka.
Tanah-tanah milik penduduk dirampas dengan cara halus, orang kampung yang terdesak mahukan wang terpaksa berjumpa dengannya memionta tolong dan mereka perlu menebus tanah milik mereka atau menjualnya dengan harga yang murah kepada Alang Bakhil.
Melalui cara inilah Alang Bakhil mengumpul kekayaannya, apabila orang kampung tidak mampu menebus tanah mereka, ia menjadi miliknya dan orang kampung perlu membayar cukai kerana bersawah di atas tanah miliknya yang dirampas itu.
Uda yang tidak mahu mengalah akhirnya nekad untuk ke kota demi mencari ringgit yang dimahukan oleh ibu Dara, setelah pulang dia berjaya mengumpul ringgit dengan bekerja siang malam di kota, namun dia terlambat kerana Dara sudah dipinang oleh Alang Bakhil.
Pada akhir cerita, Uda dan Dara sempat berjumpa di tempat biasa mereka bertemu sebelum Uda mati dibunuh oleh konco Alang Bakhil yang menyerang hendapnya.
Ok. Tak nak berpanjang lebar, lebih elok jika kamu pergi menontonnya sendiri. Serius, tidak membosankan sangat dan 3 jam terasa seperti 30 minit sahaja.
Selamat menonton.

Saturday, July 10, 2010

8 tahun seperti 8 saat.

Ketika catatan ini ditulis, aku sedang berada di dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Pasri Mas, Kelantan. Tidak, aku bukan pelajar di sini.
Aku menjadi urusetia untuk program Seminar PMR Skor A Berita Harian selama 2 hari di sini.
Pelbagai ragam pelajar yang menghadiri program ini dapat disaksikan. Lucu, geram dan kagum adalah perkataan yang dapat aku berikan sepanjang 3 hari disini (dua hari lepas berada di Resort PCB juga untuk program sama).
Lucu apabila melihat riak muka mereka yang kelihatan terpaksa hadir ke program ilmu ini, ada juga yang malu untuk masuk ke dewan jika tanpa ditemani rakan mereka.
Geram apabila melihat ada yang tidur, seolah tidak menghargai penceramah yang penat datang dari jauh untuk berkongsi ilmu dengan mereka dan tidak menghargai penat lelah ibu bapa mencari duit untuk membayar yuran program ini.
Kagum melihat kesungguhan pelajar terutama seorang pelajar lelaki yang terpaksa bertopang akibat kemalangan motor, ketika ditanya mengapa dia sanggup datang walaupun cedera, kan lebih elok duduk di rumah berehat.
Dia menjawab "Saya sanggup datang sebab sebulan setengah saya tak datang sekolah, jadi saya tahu saya dah banyak tertinggal berbanding rakan-rakan. Jadi, untuk mengejar semua silibus yang saya tertinggal itu, saya tekad untuk datang walaupun masih belum sembuh sepenuhnya".
PMR mungkin dimansuhkan pada tahun depan dan batch tahun ini mungkin mencatat sejarah sebagai batch terakhir menduduki peperiksaan awam ini.
8 tahun dulu, aku turut mengalami proses sama seperti mereka sekarang. PMR amat dititikberatkan memandangkan ia antara peperiksaan penting terutama bagi sekolah yang sangat mementingkan ranking sekolah.
Penting untuk menentukan kita bakal mendapat aliran mana pada tingkatan 4 nanti selain tiket untuk ke sekolah berasrama penuh.
Justeru, aku sama seperti pelajar tingkatan 3 lain sewaktu itu memandang PMR adalah sesuatu yang sangat penting. Aku berusaha bersungguh-sungguh demi mendapat 9A (aku ambik Bahasa Arab).
Setiap hujung minggu, Jumaat dan Sabtu, aku akan ke kelas tuisyen di Kota Bharu. Pusat Tuisyen Kami adalah antara pusat tuisyen yang tersohor di situ. Bangunannya berhadapan dengan Bazaar Buluh Kubu. Yurannya juga tidak mahal dan berpatutan. Tidak silap aku, hanya RM40 sebulan untuk pakej yang disediakan.
Aku hanya mengambil subjek yang dirasakan lemah seperti BI, Sains, Geografi, Sejarah dan Matematik. Yang lain tidak perlu kerana yakin mampu mendapat A.
Selain itu, pada sebelah malam akan diadakan kelas tambahan inisiatif pihak sekolah untuk mencemerlangkan lagi pelajarnya.
Akhirnya, masa itu menjelang tiba juga, aku bersama-sama rakan yang lain menuju ke dewan peperiksaan dengan muka penuh keyakinan. Segala soalan dijawab dengan penuh yakin. Ada juga insidenn lucu, sewaktu kertas Sejarah pada hari terakhir, pengawas peperiksaan seperti sudah malas untuk menjaga dewan dan mereka keluar dari situ, (tak tahu apa mereka lakukan), Mursyid ketika itu memandang ke belakang kepadaku dan bertanyakan jawapan untuk soalan sekian sekian, aku membalas dengan menunjukkan jari-jariku seolah-olah memberi kod rahsia kepadanya. huhu
Masa berlalu dengan pantas, bulan 12 keputusan PMR diumumkan. Aku kembali semula ke sekolah kesayanganku itu dengan penuh debaran. Tup tap, alhamdulillah, aku mendapat keputusan yang tidak pernah diimpikan. Akibatnya, aku segera mencukur botak kepalaku sebagai tanda bernazar dan bersykur kepada Allah di atas kejayaanku.
Atas kejayaan itu juga, ia menyebabkan sejarah aku selepas itu berubah. Aku berpindah sekolah asrama lain kerana beranggapan mahu mengubah nasib menjadi lebih baik.
Tetapi, keputusanku itu ternyata silap, SPM tidak sebagus mana dan aku tidak berjaya ke mana-mana, Akhirnya, aku tercampak ke universiti tempatan dan tidak lagi memasuki bidang sains, tetapi ke bidang sains sosial.
Walaupun aku yakin segala yang berlaku ada hikmahnya, namun sehingga kini aku masih berfikir, "Kalaulah aku tidak berpindah selepas PMR, dimanakah aku sekarang?".

*Selamat berjuang kepada adik-adik yang bakal mengambil UPSR, PMR dan SPM. huhu

Tuesday, July 6, 2010

Ukur baju di badan sendiri




Pepatah itu tepat sekali untuk mereka yang ingin mencari jodoh kerana pada zaman sekarang, banyak faktor perlu diambil kira sebelum membuat keputusan mengenai jodoh kita.
Faktor status dan fizikal adalah antara yang menjadi pilihan utama manusia zaman sekarang, sebab itu banyak drama atau filem sering menjadikan ia sebagai tema dalam cerita mereka.
Contohnya, cerita The Notebook di mana si jejaka hanyalah pekerja di syarikat balak manakala si gadis adalah anak keluarga aristokrat. Walaupun pengakhirannya menunjukkan mereka akhirnya hidup bersama, namun dalam realiti aku tidak rasa ia seindah itu.
Begitu juga dalam filem P. Ramlee, Ibu Mertuaku, mengisahkan Kassim Selamat seorang pemuzik yang berkahwin dengan Sabariah Mansoor, anak kepada balu kaya Nyonya Mansor. Konfliknya adalah mengenai perkahwinan yang tidak direstui kerana perbezaan darjat antara si miskin dan si kaya.


Cabaran sudah tentu kepada kaum adam kerana mereka pada persepsi masyarakat dari dahulu hingga sekarang, adalah ketua keluarga, justeru mereka perlu lebih hebat daripada si isteri.
Mana mungkin sekarang kita dapat bertemu lelaki bekerja sebagai kerani berpasangan dengan perempuan bekerja eksekutif. Mana ada lelaki, si buruh berkahwin dengan perempuan si model jelita.
Begitu juga denganfaktor fizikal, wajah dan rupa memang tidak dinafikan menjadi kriteria pertama baik lelaki mahu pun perempuan. Biasa lelaki kacak akan bergandingan dengan perempuan cantik. Ia seperti sebuah skrip yang telah ditulis sejak zaman dulu dan masih dipakai sehingga sekarang. Normanya sebegitu dan bukan salah Tuhan kerana menjadikan rupa kita tidak cantik, tidak kacak dan sebagainya.
Justeru, aku merasakan adalah lebih baik kepada semua manusia terutama lelaki untuk mengukur kembali baju di badan kita dalam soal memilih jodoh. Cari yang sepadan dengan kita kerana ia lebih berbaloi dan menguntungkan untuk jangka masa panjang.
Walaupun Rasulullah S.A.W sendiri pernah mengatakan bahawa carilah wanita beragama sebagai kriteria pertama, namun faktor kecantikan tetap tidak dapat diabaikan.
Seolah-olah, kini kecantikan itu menjadi kiblat utama manusia walaupun aku percaya tidak semua, tetapi boleh diakatakan kebanyakan manusia lebih percaya bahawa memilih kecantikan akan mendatangkan lebih kebahagiaan dalam hidup mereka.
Tepuk dada tanya selera.
Ok. Ini pendapat peribadi aku saja, tak puas hati sila penuhkan ruangan komen secara gentleman.

Saturday, July 3, 2010

UPSR dan PMR perlu dimansuhkan?

Isu mengenai cadangan untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin mendapat reaksi dan polemik yang pelbagai daripada setiap lapisan masyarakat.
Beliau berhasrat untuk mendapatkan respons daripada semua rakyat Malaysia sebelum membuat keputusan mengenai nasib kedua peperiksaan awam itu.
Bagi aku, aku tidak bersetuju jika UPSR dimansuhkan kerana ia adalah penanda aras penting dalam mengukur prestasi murid darjah 6.
Manakala, aku menyokong pemansuhan PMR kerana tidak nampak kerelevanannya lagi, ia berfungsi sekadar menentukan aliran mana pelajar akan duduki pada tingkatan 4 selain menjadi tiket kepada pelajar untuk ke sekolah berasrama penuh. Itu saja.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), saudara Mohamaed Maliki Mohamed Rapiee dalam kenyataannya di laman web MBM, berkata UPSR merupakan peperiksaan penting yang perlu diteruskan kerana ia dapat menilai keupayaan murid sepanjang berada di sekolah rendah sebelum memasuki alam sekolah menengah.
Peperiksaan awam secara standard ini mampu memperlihatkan kualiti sebenar pengurusan akademik dan ko-akademik sekolah untuk diberi pengiktirafan pihak kementerian.
Bagi peperiksaan PMR pula, MBM menyokong agar ianya dimansuhkan kerana tidak ada keperluan mendesak atau relevannya keputusan PMR itu diguna pakai dalam mana-mana urusan yang melibatkan pencapaian murid.
Aku bersetuju dengan kenyataannya kerana kini sudah tiba masanya sistem pendidikan kita dirombak semula bagi memastikan hasrat melahirkan murid bersifat holistik dan berdaya saing tercapai.
Namun, jika keduanya dimansuhkan, maka murid perlu menunggu selama 11 tahun sebelum diuji dalam peperiksaan SPM (dikira bermula dari darjah 1).
Tempoh masa yang lama ini dikhuatiri dapat menimbulkan pelbagai kesan sampingan kerana tempoh yang lama boleh membuatkan mereka kebosanan dan tiada daya saing untuk belajar.
Tetapi, jika UPSR dikekalkan, maka tempoh yang perlu ditunggu tidak lama dan ia diyakini masih dapat mengekalkan momentum murid untuk belajar.
Memang diakui, sistem peperiksaan di Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan, jumlah A yang diperoleh menjadi kejaran berbanding ilmu itu sendiri.
Tidak hairanlah, ramai pelajar cemerlang mendapat semua A dalam peperiksaannya tetapi tidak cemerlang dalam kokurikulumnya.
Jika ia berlanjutan, hasrat Malaysia untuk melahirkan modal insan berkauliti tinggi tidak akan tercapai, seterusnya merencatkan impian Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2015 kelak.

*Produk UPSR 1998 dan PMR 2002.

Sunday, June 27, 2010

Mereka sudah besar, biarkan saja?

1) Melihat gambar mereka di laman sosial Facebook sebentar tadi, terbit sedikit kejutan betapa cepatnya masa berlalu.
2) Mengimbas 12 tahun dahulu, pada tahun 1998, sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel dan ketika aku sedang berhempas pulas dengan peperiksaan UPSR, mereka hanyalah budak hingusan yang tidak mengerti apa-apa.
3) Ketika itu, saiz dan ketinggian mereka masih di bawah aku, apabila abah dan mama pergi kerja, mereka akan ditinggalkan di rumah pengasuh yang kami panggil 'ibu'.
4) Pada hujung minggu saja, mereka tinggal di rumah sendiri kerana abah dan mama meletakkan kepercayaan padaku dan Nadia untuk menjaga mereka di rumah lama kami di Wangsa Melawati.
5) Dahulu mereka masih bergantung dengan aku dalam melakukan bayak perkara, kini mereka sudah berupaya berdiri dengan kaki mereka sendiri.
6) Hatta untuk keluar dari rumah pun mereka perlu meminta izin daripada aku, begitu ketatnya peraturan yang dikenakan kepada mereka oleh abah dan mama.
7) Namun, kini pada tahun 2010 semua itu telah berubah, mereka sudah tidak perlu dikawal lagi. Seorang sudah berada di Matrikulasi Pulau Pinang dan seorang lagi dalam tingkatan 4, bakal menghadapi SPM akan datang.
8) Masing-masing sedang menikmati masa remaja mereka, aku tumpang bangga dengan mereka, walaupun perjalanan hidup mereka masih jauh tapi aku yakin mereka akan berjaya dengan hidup mereka.
9) Cuma, zaman remaja adalah zaman paling mencabar dalam fasa hidup setiap manusia, ketika ini perasaan dan emosi lebih diutamakan dalam dijadikan panduan dalam membuat keputusan, bukan akal fikiran.
10) Kebimbanganku muncul selepas mengetahui mereka sudah mempunyai bunga di hati masing-masing. Yelah, mereka sudah remaja dan kebetulan masing-masing mempunyai rupa, sudah tentu menjadi rebutan.
11) Aku khuatir fokus mereka kepada pelajaran yang patut diutamakan terabai, sekali gus menempuh kegagalan. Patutkah aku melakukan sesuatu atas kapasiti seorang abang?
12) Hati kecilku berbisik " Alah, mereka sudah besar, biarkan saja".
13) Benar, mereka sudah besar, namun aku kira membiarkan mereka melakukan segala keputusan dalam hidup mereka tanpa mendapat bimbingan yang betul akan menyebabkan kemusnahan dalam hidup mereka.
14) Aku perlu bertindak, memastikan mereka tidak terpesaong, supaya mereka, Hilmi Faiz Mohamad dan Haziq Firdaus Mohamad akan berjaya lebih hebat daripada aku. Insyaallah.

Wednesday, June 23, 2010

My Bucket List

Banyak filem yang pernah aku tonton telah memberi kesan dalam diri aku. Antaranya adalah 'The Bucket List'.
Filem lakonan Jack Nicholson dan Morgan Freeman ini (kedua-duanya aktor kesukaan aku) sangat mengesankan dan mengajar aku banyak perkara mengenai kehidupan.Ia mengisahkan kedua orang asing yang ditempatkan di dalam bilik di hospital milik Edward Cole (Jack Nicholson) sendiri kerana penyakit kanser paru-paru.
Di situ, mereka menjadi rapat dan bersahabat dan kisahnya bermula apabila Carter Chambers (Morgan Freeman) tercicirkan satu nota di lantai bilik itu yang kemudiannya dibaca oleh Edward.
Nota itu atau pun 'bucket list' adalah senarai yang mahu dilakukan (impian) Carter sebelum dia meninggal, Carter dijangka hanya mempunyai masa enam bulan saja untuk hidup.
Justeru, selepas membacanya Edward, seorang billionair terus mengajak rakannya merealisasikan hasratnya dalam nota berkenaan dan akan menanggung semua perbelanjaan.
Mereka terus melakukan kesemua hasrat yang mereka tulis dalam bucket list berkenaan bersama-sama.
Melakukan terjunan dari kapal terbang, membuat tatu, mendaki piramid, melawat Taj Mahal dan melawat Afrika adalah antara yang telah mereka lakukan.
Namun, hasrat untuk mendaki puncak tertinggi didunia tidak kesampaian kerana keadaan cuaca buruk, tetapi akhirnya berjaya dilakukan oleh pembantu peribadi Edward, Matthew ketika mereka berdua sudah meninggal dengan membawa abu mayat mereka ke puncak Everest.
Aku tidak mahu bercerita lebih panjang, lebih elok jika kamu sendiri menontonnya untuk mendapatkan kepuasan yang lebih.
Jadi, di sini, aku ingin senaraikan bucket list aku pula :

1) Mahu mengembara ke seluruh dunia terutamanya Eropah dan Afrika ketika bersara kelak. So, ketika muda ni aku akan bekerja kuat untuk mengumpul duit dalam mencapai hasrat ini.
2) Mahu melakukan bungee jumping
3) Mahu melakukan backpacking di Eropah ketika masih muda (dalam umur 30 tahun ke)
4) Menjadi somebody ketika berumur 40 tahun
5) Melawat tembok cina
6) Mendaki piramid juga (meniru sikit)
7) Melawat Taj Mahal (tiru lagi,huhu)
8) Skydiving
9) Mendapat lesen scuba diving dan menyelam jauh di tempat menarik macam Pulau Caribbean ke
10) Mendaki gunung Everest.

Ok. Cukup aku senaraikan 10 saja dulu, dan jangan ada bertanya "Kenapa tak bubuh buat Haji dan Umrah".
Jawapan aku mudah, ia adalah wajib dan insyaallah akan aku lakukannya dahulu sebelum melakukan perkara lain.

Wednesday, June 16, 2010

Keajaiban untukmu sahabat

Seorang sahabatku kini telah dimasukkan ke dalam wad ICU di Hopital Serdang kerana demam denggi.
Aku hanya boleh berharap agar dia akan segera sembuh, sayu melihat wajah keluarga terutama ibu bapanya.
Ibunya seperti sudah kehabisan air mata, jauh di sudut hatinya aku yakin dia tidak putus-putus berdoa kepada Allah agar disembuhkan anaknya yang telah dijaga dengan penuh kasih sayang selama 22 tahun itu.
Doa seorang ibu. Tiada siapa yang tahu kekuatan terkandung dalam doa seorang ibu.Aku berharap agar Allah akan memberikan keajaiban terhadap sahabatku ini untuk segera sembuh.Amin.

Keajaiban dan sengsara

Keajaiban adalah harapan
Kepada Allah kupinta
Agar sengsara itu dihalau keluar
dari tubuh seorang insan
Seorang sahabat yang sentiasa meneman
gelak tawamu menjadi pengubat
di kala lara
Kami menunggu mu di pintu cahaya
Iringan doa tak putus tiba
untuk mu wahai sahabat

-buat sahabat, Fazhil Razak-

(aku dah lama tak menulis sajak, namun aku cuba yang terbaik)

Sunday, June 13, 2010

Fahaman pelbagai

Di dunia sekarang, terdapat pelbagai fahaman yang dianuti oleh setiap insan bergelar manusia.
Bergantung pula kepada di mana dia tinggal, bagaimana persekitaran dan pengalamannya serta berapa usianya.
Semua ini adalah antara faktor yang memmpengaruhi pemilihan fahaman manusia berkenaan.
Di tempat aku sendiri, di Malaysia, ada pelbagai fahaman termasuk Kapitalisme, Sosialisme, Sekularisme dan pelbagai 'isme' yang lain.
Itu adalah fahaman yang popular, sering disebut-sebut dalam buku teks.
Aku selaku Muslim, tidak terlepas dengan fahaman sedemikian kerana hidup bermasyarakat membuatkanku tidak terlepas untuk bertemu dengan manusia yang memiliki fahaman berkenaan.
Hedonisme adalah antara fahaman moden yang kini menjadi ikutan golongan muda, hedonisme ialah sebuah fahaman yang bertuhankan keseronokan dan hiburan, antara moto hidup mereka ; Hidup hanya sekali, jadi gembiralah sepuas-puasnya.
Fahaman ini berkait rapat dengan fahaman sekular, kerana dalam fahaman sekular, hasil adalah lebih penting daripada proses.
Maksudnya, tidak kira cara itu halal atau haram, yang penting hasilnya diperoleh.
ia berkait rapat dengan kapitalisme pula, sistem ekonomi yang didokong oleh Barat, yang merupakan sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan bermatlamatkan keuntungan.
Sistem ini hanya menguntungkan orang kaya sahaja, tidak percaya, sebagai contoh, Robert Kuok, orang terkaya di Malaysia mengalami peningkatan berganda hasil keyaannya tahun ini berbanding tahun lepas.
Sedangkan, orang makan gaji perlu menunggu hampir 5,6 tahun untuk gaji mereka dinaikkan sebanyak itu, atau mungkin lebih.
Ok, aku tak nak bercakap panjang. Hormati mereka yang berfahaman berbeza. Perbezaan itu satu rahmat bak kata orang pandai.

Friday, June 11, 2010

Tiada masa sosial ketika bekerja?

Ungkapan itu baru saja aku rasai sejak bekerja di Berita Harian sebagai pelajar praktikal. Walaupun praktikal, tapi aku dilayan sama seperti pekerja lain, maksudnya aku melakukan kerja sama sahaja seperti apa yang mereka lakukan. Tiada kompromi.
Kerjaya sebagai wartawan sememangnya menyeronokkan, aku tidak menipu kerana ia adalah usaha dan impianku sejak 2 tahun lepas.
Masuk kerja seawal jam 9 pagi dan balik selewat 11 malam adalah rutin biasa. Malah, seniorku bercerita, dia pernah mendapat assignment seawal 4 pagi dan terpaksa bergerak ke lokasi berkenaan pada pukul 2 pagi kerana takut terlewat tiba. (assignemnt merujuk tugasan yang wartawan perlu lakukan).
Mungkin ada yang menganggap kerjaya ini seperti tiada kehidupan sosial dan tiada kegembiraan, namun ada sebenarnya. Aku tidak mahu mengulas lebih jauh kerana sedar, aku masih cetek dalam bidang ini, hanya baru 6 minggu bekerja, aku tidak layak untuk berkata lebih mengenai bidang mulia ini.
Tunggulah 4,5 tahun lagi, setelah mendapat pengalaman yang cukup, barulah boleh bercerita panjang.
Teringat kata Ashwad, wartawan Astro Awani yang ditangkap Israil " I'm a journalist and I can be anywhere i want". Sound coolkan. hehe.

Sunday, June 6, 2010

'Menjadi workaholic juga adalah antara keseronokan hidup sesetengah manusia' - anonymous

Saturday, June 5, 2010

Kisah Ali dan KLCC

Ali berjalan-jalan di KLCC pada suatu hujung minggu yang membosankan, katanya. Dia bergerak dari rumahnya, di Setiawangsa menaiki Putra LRT, servis tren terbaik, katanya berbanding komuter.
Ali tiba di stesen KLCC dalam masa 15 minit, lebih sekejap berbanding jika menaiki kereta yang memakan masa setengah jam kerana kesesakan lalu lintas atau traffic jam, katanya.
Jam baru menunjukkan 11.00 pagi. Dia memulakan langkahnya tanpa ada hala tuju, "Macam ni baru best, aku hanya berjalan mengikut gerak hati, seperti dalam filem,wow!" kata hatinya.
Dia buntu kerana tidak tahu pergi ke mana. Isetan sudah dimasukinya, dia hanya sekadar mampu melihat atau windows shopping kerana tidak berduit, pelajar mana ade duit, katanya lagi.
"Tak mengapa, shopping complex dibina bukan hanya untuk mereka yang berduit saja, kalau macam tu, diskriminasi tau, ingat orang berduit saja ke nak berjalan-jalan," getus hatinya, sekadar menyedapkan hati.
Kemudian, Ali berjalan-jalan menuju ke TGV Cinemas, tempat tumpuan manusia di hujung minggu. Dia hanya melihat poster-poster yang ditampal. Prince of Persia, Shrek, Robin Hood. Ahh, semua filem barat, mane filem Melayu ni, hatinya memberontak kerana filem Melayu tidak diberi tempat dalam pawagam.
"Tak patriotik betul r tauke panggung ni, berilah peluang pada filem Melayu atau Malaysia masuk panggung, kalau tak camne nak maju," marahnya dalam hati.
Tapi, Ali terfikir kembali, macam mana nak maju kalau cakap nak tayang 27hb tapi akhirnya tak jadi, hmmm.
Akhirnya, Ali buat keputusan untuk ke kedai huku Kinokuniya. "Bangsa membaca, bangsa berjaya,"hati Ali berbunga-bunga bila membaca ayat tersebut yang ditampal dalam kedai tersebut.
"Ish, mahalnya buku-buku dalm ni, camne nak beli, akupelajar mana mampu, tak patut lah kalau orang luar sana asyik cakap remaja malas membaca, dah buku mahal nak mampus," Ali merungut dalam hatinya.
Dah la, baik aku balik.

Pertanyaa, apa yang anda dapat dalam cerita ini?

Friday, May 28, 2010

Bola itu perkara halal, judi itu haram. Berbeza ya!


Rolet adalah antara judi popular. Kat Malaysia, ramai orang Melayu terlibat. Kini, lebih canggih, main dalam internet. Tak percaya, baca Dewan Masyarakat Mei 2010.

Judi dan bola adalah dua perkara berbeza, tetapi masyarakat moden menganggap ia seperti isi dan kuku, tidak boleh dipisahkan. Mengapa?
Kerana, apabila ada perlawanan bola, mereka suka menjadi Tuhan, meramalkan siapa yang menang sebelum wisel penamat di tiup.
Masing-masing akan membuat ramalan berapa biji gol akan disumbat. 2-0, 3-2, 1-2. Itu semua ramalan Tuhan sementara ini.
Keseronokannya tak usah digambarkan kerana apabila ramalan mereka tepat, mereka akan mendapat habuan iaitu DUIT, Tuhan baru manusia zaman moden.
Mereka bertaruh sesama sendiri. Zaman moden ini, di internet saja sudah memadai. Tak perlu susah pergi jauh-jauh.
Habuan yang diperoleh bukan sedikit, beribu, berpuluh ribu bahkan berjuta. Ini adalah cara menjadi kaya alaf baru dengan cepat dan tidak perlu berfikir panjang.
Budak darjah 1 boleh menyertainya. Yelah, matematik 3-2, 2-0, kan sudah diajar ketika itu.
Malaysia kini sedang hangat dengan cerita lesen judi sempena Piala Dunia yang sudah diluluskan. Pengumumannya dibuat oleh orang yang seagama dengan aku.
Katanya, kalau tak diberi lesen, nanti akan ada banyak judi haram, jadi daripada rakyat Malaysia berjudi secara haram yang menyalahi peraturan, lebih baik dihalalkan judi itu. Katanya lebih kurang begitulah.
Pendirian aku? Sudah terang lagi bersuluh spotlight, aku menentang kerana ia memang haram di sisi Islam. Tidak perlu tanya agamawan, tanya budak tadika pun mereka boleh kata judi itu haram.
Jadi, aku takut, apabila judi sudah mula dihalalkan, maka akan lebih banyak permintaan lain yang haram akan dihalalkan kerana alasan tidak mahu rakyat Malaysia melakukannya tidak mengikut peraturan.
Jadi, selepas ini, mungkin pelacuran pun akan diberli lesen halal. Bolehlah Malaysia lawan Thailand ya. Negara tu pun sedang bermasalah tu sebab baru baik dari demonstrasi baju merah.
Jadi, industri pelacuran di sana terjejas teruk juga, ramai mengeluh sebab susah cari pelacur. Malaysia mungkin boleh menggantikan Thailand menjadi syurga dunia.

Monday, May 17, 2010

Perkara yang sering kita risaukan

Apakah perkara yang sering menjadi kerisauan kita? Wang? Kesihatan? Masa? Semua itu menjadi kerisauan manusia zaman sekarang bergantung kepada status mereka. Orang kaya tidak perlu risaukan wang kerana meeka memilikinya. Mungkin kesihatan menjadi kerisauan mereka. Bagi orang miskin, wang menjadi kerisauan utama mereka.
Aku pula, sebab ke tiga itu menjadi kerisauan aku. Masa. Kata orang cerdik pandai, apakah perkara yang paling jauh, masa yang sudah berlalu. Benar, masa yang telah berlalu sangat jauh untuk kita kejar. Mustahil untuk kita mengejar ia.
Tahun ini umur aku menginjak 24, masih belum mempunyai pekerjaan. Banding dengan rakan yang umur sebaya denganku, rata-ratanya sudah bekerja. Mampu memulakan hidup mereka. Sedangkan aku, masih tidak mampu melakukan semua itu kerana masih belum tamat belajar.
Itulah kerisauan kita. Apabila menyedari umur sudah meningkat, tetapi masih tidak mampu mengawal hidup sendiri. Masih bergantung di sana sini.
Bila ia berlaku, biasanya kita akan kembali mengimbau masa silam dan analisis salah silap yang telah kita lakukan. "Kalaulah ketika itu aku tidak melakukan perkara itu, sudah tentu aku tak seperti ini sekarang","Kenapalah aku malas sangat dulu". "Menyesal aku tak belajar sungguh-sungguh dulu". Dialog-dialog seperti ini akan sering berkumandang di dalam fikiran kita. Perkara ini pernah berlaku pada aku dan tidak berhasrat untuk mengalaminya lagi.
Kini, aku mampu mengubah hidup aku. Cuma, aku tidak boleh melakukan kesilapan yang sama lagi. Fokus adalah kunci kejayaan. Aku hanya perlu fokus dengan apa yang sedang aku buat. Sedikit demi sedikit akan membuahkan hasil. Tidak ada jalan pintas untuk berjaya. Rom tidak dibina dalam masa sehari.

Wednesday, May 5, 2010

Lakukan kerja yang diminati, nescaya anda akan gembira dalam hidup


Percayalah. Jiwa kita akan lebih tenang dan hidup kita akan sentiasa gembira apabila kita melakukan kerja yang kita suka. Kita minat. Yang kita anggap ia bukan kerjaya semata-mata, tetapi adalah hidup kita.
Ramai manusia yang tidak gembira dengan apa yang mereka lakukan sehingga menimbulkan konflik dalam jiwa mereka. Jiwa sentiasa kacau. memberontak dan tak keruan.

Ada yang minat dengan menulis, tetapi terpaksa melupakan hasrat itu kerana sibuk melakukan kerja yang tiada kaitan dengan menulis.
Ada yang minat dengan sains, tetapi kerana arus persaingan yang dashyat, dia terpaksa melupakan bidang itu, sebaliknya memilih jalan yang selamat iaitu bekerja yang biasa orang lain lakukan juga.
Ada yang terpaksa mengorbankan minat mereka kerana mengikut kehendak keluarga. Minatnya adalah fotografi, tetapi kehendak keluarganya adalah jurutera.
Keberanian adalah apa yang diperlukan. Keberanian mengubah hidup kita. Seperti apa yang diperkatakan dalam cerita 3 idiots, " Kereta sudah menunggu, pintu pagar sudah terbuka. Bila tua, barulah kau nak menyesal dan berkata jikalah aku berani sedikit ketika itu untuk berjumpa dengan ayah, sudah tentu aku akan mendapat apa yang aku mahukan,".

Tuesday, April 13, 2010

Peperiksaan Akhir

Peperiksaan akhir sudah tiba. Setelah berhempas pulas selama 14 minggu dalam bilik kuliah dan menyiapkan segala tugasan (masih ada yang belum siap lagi), kini sudah sampai seruan peperiksaan akhir.
Saya ingin mengucapkan selamat berjaya kepada semua rakan-rakan dan juga diri ini. Pastikan diri anda mendapat rehat yang secukupnya. Jangan belajar sampai lewat pagi kerana khuatir tidak boleh memberi tumpuan 100% ketika menjawab soalan nanti.