Showing posts with label luahan hati tiba-tiba. Show all posts
Showing posts with label luahan hati tiba-tiba. Show all posts

Tuesday, July 6, 2010

Ukur baju di badan sendiri




Pepatah itu tepat sekali untuk mereka yang ingin mencari jodoh kerana pada zaman sekarang, banyak faktor perlu diambil kira sebelum membuat keputusan mengenai jodoh kita.
Faktor status dan fizikal adalah antara yang menjadi pilihan utama manusia zaman sekarang, sebab itu banyak drama atau filem sering menjadikan ia sebagai tema dalam cerita mereka.
Contohnya, cerita The Notebook di mana si jejaka hanyalah pekerja di syarikat balak manakala si gadis adalah anak keluarga aristokrat. Walaupun pengakhirannya menunjukkan mereka akhirnya hidup bersama, namun dalam realiti aku tidak rasa ia seindah itu.
Begitu juga dalam filem P. Ramlee, Ibu Mertuaku, mengisahkan Kassim Selamat seorang pemuzik yang berkahwin dengan Sabariah Mansoor, anak kepada balu kaya Nyonya Mansor. Konfliknya adalah mengenai perkahwinan yang tidak direstui kerana perbezaan darjat antara si miskin dan si kaya.


Cabaran sudah tentu kepada kaum adam kerana mereka pada persepsi masyarakat dari dahulu hingga sekarang, adalah ketua keluarga, justeru mereka perlu lebih hebat daripada si isteri.
Mana mungkin sekarang kita dapat bertemu lelaki bekerja sebagai kerani berpasangan dengan perempuan bekerja eksekutif. Mana ada lelaki, si buruh berkahwin dengan perempuan si model jelita.
Begitu juga denganfaktor fizikal, wajah dan rupa memang tidak dinafikan menjadi kriteria pertama baik lelaki mahu pun perempuan. Biasa lelaki kacak akan bergandingan dengan perempuan cantik. Ia seperti sebuah skrip yang telah ditulis sejak zaman dulu dan masih dipakai sehingga sekarang. Normanya sebegitu dan bukan salah Tuhan kerana menjadikan rupa kita tidak cantik, tidak kacak dan sebagainya.
Justeru, aku merasakan adalah lebih baik kepada semua manusia terutama lelaki untuk mengukur kembali baju di badan kita dalam soal memilih jodoh. Cari yang sepadan dengan kita kerana ia lebih berbaloi dan menguntungkan untuk jangka masa panjang.
Walaupun Rasulullah S.A.W sendiri pernah mengatakan bahawa carilah wanita beragama sebagai kriteria pertama, namun faktor kecantikan tetap tidak dapat diabaikan.
Seolah-olah, kini kecantikan itu menjadi kiblat utama manusia walaupun aku percaya tidak semua, tetapi boleh diakatakan kebanyakan manusia lebih percaya bahawa memilih kecantikan akan mendatangkan lebih kebahagiaan dalam hidup mereka.
Tepuk dada tanya selera.
Ok. Ini pendapat peribadi aku saja, tak puas hati sila penuhkan ruangan komen secara gentleman.

Sunday, June 27, 2010

Mereka sudah besar, biarkan saja?

1) Melihat gambar mereka di laman sosial Facebook sebentar tadi, terbit sedikit kejutan betapa cepatnya masa berlalu.
2) Mengimbas 12 tahun dahulu, pada tahun 1998, sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel dan ketika aku sedang berhempas pulas dengan peperiksaan UPSR, mereka hanyalah budak hingusan yang tidak mengerti apa-apa.
3) Ketika itu, saiz dan ketinggian mereka masih di bawah aku, apabila abah dan mama pergi kerja, mereka akan ditinggalkan di rumah pengasuh yang kami panggil 'ibu'.
4) Pada hujung minggu saja, mereka tinggal di rumah sendiri kerana abah dan mama meletakkan kepercayaan padaku dan Nadia untuk menjaga mereka di rumah lama kami di Wangsa Melawati.
5) Dahulu mereka masih bergantung dengan aku dalam melakukan bayak perkara, kini mereka sudah berupaya berdiri dengan kaki mereka sendiri.
6) Hatta untuk keluar dari rumah pun mereka perlu meminta izin daripada aku, begitu ketatnya peraturan yang dikenakan kepada mereka oleh abah dan mama.
7) Namun, kini pada tahun 2010 semua itu telah berubah, mereka sudah tidak perlu dikawal lagi. Seorang sudah berada di Matrikulasi Pulau Pinang dan seorang lagi dalam tingkatan 4, bakal menghadapi SPM akan datang.
8) Masing-masing sedang menikmati masa remaja mereka, aku tumpang bangga dengan mereka, walaupun perjalanan hidup mereka masih jauh tapi aku yakin mereka akan berjaya dengan hidup mereka.
9) Cuma, zaman remaja adalah zaman paling mencabar dalam fasa hidup setiap manusia, ketika ini perasaan dan emosi lebih diutamakan dalam dijadikan panduan dalam membuat keputusan, bukan akal fikiran.
10) Kebimbanganku muncul selepas mengetahui mereka sudah mempunyai bunga di hati masing-masing. Yelah, mereka sudah remaja dan kebetulan masing-masing mempunyai rupa, sudah tentu menjadi rebutan.
11) Aku khuatir fokus mereka kepada pelajaran yang patut diutamakan terabai, sekali gus menempuh kegagalan. Patutkah aku melakukan sesuatu atas kapasiti seorang abang?
12) Hati kecilku berbisik " Alah, mereka sudah besar, biarkan saja".
13) Benar, mereka sudah besar, namun aku kira membiarkan mereka melakukan segala keputusan dalam hidup mereka tanpa mendapat bimbingan yang betul akan menyebabkan kemusnahan dalam hidup mereka.
14) Aku perlu bertindak, memastikan mereka tidak terpesaong, supaya mereka, Hilmi Faiz Mohamad dan Haziq Firdaus Mohamad akan berjaya lebih hebat daripada aku. Insyaallah.