Saturday, November 6, 2010

Bersedia ke belum ni?

Aku dalam masalah kini, bukanlah masalah kritikal macam banjir di Perlis, Kedah semua tu, bukan juga masalah gunung Merapi nak meletup tu. Cuma masalah nak habiskan tesis aku.
Sebenarnya, ikutkan tak banyak dah, tinggal bab 5 je, tapi tak tahu kenapa hati rasa berat, otak rasa malas nak habiskan.
Adakah itu perkara biasa bagi mereka yang berada di alam tahun akhir pengajian ini. Adakah itu menunjukkan aku masih sayang nak tinggalkan UPM ni.
Dah 4 tahun setengah aku di sini, macam-macam benda berlaku sepanjang tempoh tu. Lama masa 4 tahun tu, kalau naik kereta ulang alik dari sini ke rumah aku dalam tempoh tu, berapa ratus ribu kali agaknya ya. Tak pernah pula nak kira.
Tapi nak cakap, setengah sisi diri aku beriya nak tinggalkan UPM, nak habiskan belajar cepat-cepat untuk mulakan alam pekerjaan pula. Nak mulakan kehidupan. Yelah, usia pun makin meningkat, dah cecah 24 jadi nak tak nak memang alam pekerjaan dah memanggil mari.
Tapi, lagi satu sisi macam tak nak itu berlaku. Macam tak bersedia lagi nak tempuhi alam pekerjaan itu. Macam rasa banyak lagi benda nak buat kat UPM ni.
Apa pun, aku tahu masanya dah tiba untuk aku beredar dari sini. Boleh kata, kini bukan lagi masa aku. Masa aku dah berlalu. Kini masa orang lain pula di universiti ini. Masa aku kini hanya bergelar memori yang tersimpan rapi dalam kotak fikiran ini.
Bersediakah aku dengan semua ini? Jawapannya terserah kepada aku untuk mencarinya...

Tuesday, August 10, 2010

Selamat berpuasa semua

Ramadhan tiba lagi. Sedar tak sedar begitu cepat masa berlalu. Terasa macam baru semalam aku menyambut Ramadhan, hari ni dah Ramadhan lagi.
Tidak, aku tidak mengeluh. Kenapa nak mengeluh ketibaan bulan mulia ini. Cuma nak kata masa berlalu begitu pantas.
Mungkin ini Ramadhan terakhir aku di UPM. Selepas ini tak tahu akan sambut Ramadhan di mana pula. Namun, kenangan berpuasa di sini antara pengalaman manis aku bersama rakan-rakan.
Kepada semua umat Islam, selamat berpuasa. Hayatilah keberkatan yang ada dalam bulan mulia ini ya.

Tuesday, July 27, 2010

Bidadari itu sudah berada di kayangan lain

Aku bertanya kepada seorang kawan ketika melepak bersamanya di kedai makan terkenal di Serdang.
"Kenapa kau tak komen blog aku, hari tu beriya-iya menyuruh aku menulis semula,". Sambil menghirup teh tarik aku berkata kepadanya.
Dia dengan muka selamba, memaling dan berkata.
"Blog kau tak best, kau tulis isu serius. Tulislah tentang bidadari macam dulu, baru best nak komen, hahaha,". Dia ketawa dan menyambung makan nasi ayam kesukaannya.
"Alah, bidadari tu kisah lama r, lagipun dia dah berpindah jauh,". Aku memandangnya serius dan menambah lagi.
"Dahlah dia tak pernah nak layan semua mesej aku, mana ada mood nak tulis bidadari tu,". Sedikit kecewa, tetapi bukan kecewa sebab mesej tak dibalas, tapi sebab memang aku dah tiada idea nak menulis.
Pada blog edisi lama dulu, cerita banyak seputar bidadari. Ya, kerana ketika itu dia masih di sini, di kayangan ini.
Tapi, sekarang dia dah terbang jauh berpindah ke kayangan baru. Aku tidak dapat mengikutinya kerana terikat dengan komitmen dan kontrak di kayangan lama ini.
Dah lah baru naik pangkat sebagai Ketua Penglipur Lara Istana, justeru aku tidak boleh berbuat apa.
Jadi, kepada kawan aku itu, kalau kau baca entri ini, (aku harap kau akan baca), jangan khuatir, aku akan menulis lagi mengenai bidadari baru walaupun masih dalam proses pencarian. tapi aku yakin akan tetap menjumpainya. hehehehe

Friday, July 23, 2010

4 tahun masih tak cukup rupanya

"Hang dah ada asas, tu yang penting".
Aku senyap, memikirkan jawapan yang sesuai untuk membalas.
"Alah Abang Bidi, saya bukan belajar habis pun, separuh jalan je, kira produk gagal la ni, hahaha," aku cuba berjenaka dengan rakan kerjaku yang selayaknya aku panggil ayah itu.
"Iyalah, tapi hang dah ada asas, tu dah cukup penting untuk membawa hang daripada tak sesat," balasnya serius.
Aku terdiam lagi, memikirkan apa yang dikatakan Abang Bidi itu.
Benar, ada kebenaran apa yang dikatakannya kepada aku.
Walaupun hanya 4 tahun di situ, namun ia sudah mencukupi untuk aku membawa diri mengharungi cabaran dunia yang penuh dugaan ini.
"Hang kalau tak amalkan apa yang hang belajar dulu, rugi, kalau hang masuk UMNO habislah hang," tambahnya lagi.
Sudah, masuk ke politik pulak.
Tak pernah terlintas untuk menceburi politik, masih belum bersedia, benar mungkin aku masih kekurangan kesedaran politik.
Sama seperti orang muda lain, menganggap politik hanya untuk orang tua.
Berbalik kepada isu awal, kata-kata itu terus bermain-main dalam benak otakku sampai sekarang.
Jika yang asas pun sudah berani aku tinggalkan, apatah lagi perkara yang dilarang oleh agamaku.
Mungkin 4 tahun itu masih tidak mencukup untuk membekalkan aku dengan kekuatan untuk menghadapai godaan dunia.

Friday, July 16, 2010

"Ringgit menguasai segala-galanya"

Romantik. Itu adalah antara intipati yang ada dalam pementasan teater muzikal Uda dan Dara yang sempat aku tonton pada malam tadi di Istana Budaya.
Kisah cinta antara dua kekasih, Uda dan Dara lakonan Razali Hussain dan Misha Omar adalah antara daya penarik untuk mengajak orang datang menonton, tetapi bukan bagi aku kerana aku lebih tertarik dengan Uda dan Dara itu sendiri.
Sebabnya ia adalah karya sasterawan negara yang cukup di segani dan masih diingati sehingga kini lewat karya-karyanya yang cukup berkesan kepada pembacanya.
Beliau turut dikenali sebagai seorang yang romantis dalam karyanya, antara karya lainnya yang terkenal termasuk puisi Ke Makam Bonda.
Usman Awang (kini allahyarham) adalah antara penulis hebat di Malaysia, karya-karyanya sering mendapat perhatian ramai sama ada pada peringkat nasional atau antarabangsa.
Berbalik kepada teater ini yang juga adalah nukilan penerima SEA Write Award tahun 1982 itu, ia mengisahkan percintaan Uda, anak petani miskin dan Dara, anak orang kaya.
Walaupun tahu perbezaan darjat, namun ia bukan penghalang kepada percintaan mereka.
Namun, ia mendapat tentangan daripada ibu Dara yang menganggap Uda tidak layak untuk Dara dan tidak mampu memberi kebahagiaan kepadanya kerana tidak mempunyai Ringgit.
Ya. Persoalan ringgit sering dilontarkan dalam cerita ini, aku anggap ia adalah persoalan utama yang ingin diketengahkan.
Dialog Uda sewaktu berbicara dengan Dara mengenai ringgit ini juga menarik perhatianku.
"Ringgit mampu menguasai segala-galanya"
"Ringgit mampu membeli manusia"
Itu adalah bait-bait dialog yang aku masih ingat.
Benar, pada zaman dulu orang yang mempunyai ringgit (baca : wang dan harta) mampu memiliki apa yang mereka mahu. Mereka boleh membeli kuasa dan darjat.
Ia sebenarnya turut berlaku pada zaman sekarang di mana orang kaya mampu melakukan apa yang mereka mahu, malah mampu mempengaruhi keputusan yang dibuat dalam negara.
Ini yang berlaku apabila Alang Bakhil, orang kaya yang mengambil kesempatan daripada kesusahan penduduk kampung dengan memeras mereka.
Tanah-tanah milik penduduk dirampas dengan cara halus, orang kampung yang terdesak mahukan wang terpaksa berjumpa dengannya memionta tolong dan mereka perlu menebus tanah milik mereka atau menjualnya dengan harga yang murah kepada Alang Bakhil.
Melalui cara inilah Alang Bakhil mengumpul kekayaannya, apabila orang kampung tidak mampu menebus tanah mereka, ia menjadi miliknya dan orang kampung perlu membayar cukai kerana bersawah di atas tanah miliknya yang dirampas itu.
Uda yang tidak mahu mengalah akhirnya nekad untuk ke kota demi mencari ringgit yang dimahukan oleh ibu Dara, setelah pulang dia berjaya mengumpul ringgit dengan bekerja siang malam di kota, namun dia terlambat kerana Dara sudah dipinang oleh Alang Bakhil.
Pada akhir cerita, Uda dan Dara sempat berjumpa di tempat biasa mereka bertemu sebelum Uda mati dibunuh oleh konco Alang Bakhil yang menyerang hendapnya.
Ok. Tak nak berpanjang lebar, lebih elok jika kamu pergi menontonnya sendiri. Serius, tidak membosankan sangat dan 3 jam terasa seperti 30 minit sahaja.
Selamat menonton.

Saturday, July 10, 2010

8 tahun seperti 8 saat.

Ketika catatan ini ditulis, aku sedang berada di dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Pasri Mas, Kelantan. Tidak, aku bukan pelajar di sini.
Aku menjadi urusetia untuk program Seminar PMR Skor A Berita Harian selama 2 hari di sini.
Pelbagai ragam pelajar yang menghadiri program ini dapat disaksikan. Lucu, geram dan kagum adalah perkataan yang dapat aku berikan sepanjang 3 hari disini (dua hari lepas berada di Resort PCB juga untuk program sama).
Lucu apabila melihat riak muka mereka yang kelihatan terpaksa hadir ke program ilmu ini, ada juga yang malu untuk masuk ke dewan jika tanpa ditemani rakan mereka.
Geram apabila melihat ada yang tidur, seolah tidak menghargai penceramah yang penat datang dari jauh untuk berkongsi ilmu dengan mereka dan tidak menghargai penat lelah ibu bapa mencari duit untuk membayar yuran program ini.
Kagum melihat kesungguhan pelajar terutama seorang pelajar lelaki yang terpaksa bertopang akibat kemalangan motor, ketika ditanya mengapa dia sanggup datang walaupun cedera, kan lebih elok duduk di rumah berehat.
Dia menjawab "Saya sanggup datang sebab sebulan setengah saya tak datang sekolah, jadi saya tahu saya dah banyak tertinggal berbanding rakan-rakan. Jadi, untuk mengejar semua silibus yang saya tertinggal itu, saya tekad untuk datang walaupun masih belum sembuh sepenuhnya".
PMR mungkin dimansuhkan pada tahun depan dan batch tahun ini mungkin mencatat sejarah sebagai batch terakhir menduduki peperiksaan awam ini.
8 tahun dulu, aku turut mengalami proses sama seperti mereka sekarang. PMR amat dititikberatkan memandangkan ia antara peperiksaan penting terutama bagi sekolah yang sangat mementingkan ranking sekolah.
Penting untuk menentukan kita bakal mendapat aliran mana pada tingkatan 4 nanti selain tiket untuk ke sekolah berasrama penuh.
Justeru, aku sama seperti pelajar tingkatan 3 lain sewaktu itu memandang PMR adalah sesuatu yang sangat penting. Aku berusaha bersungguh-sungguh demi mendapat 9A (aku ambik Bahasa Arab).
Setiap hujung minggu, Jumaat dan Sabtu, aku akan ke kelas tuisyen di Kota Bharu. Pusat Tuisyen Kami adalah antara pusat tuisyen yang tersohor di situ. Bangunannya berhadapan dengan Bazaar Buluh Kubu. Yurannya juga tidak mahal dan berpatutan. Tidak silap aku, hanya RM40 sebulan untuk pakej yang disediakan.
Aku hanya mengambil subjek yang dirasakan lemah seperti BI, Sains, Geografi, Sejarah dan Matematik. Yang lain tidak perlu kerana yakin mampu mendapat A.
Selain itu, pada sebelah malam akan diadakan kelas tambahan inisiatif pihak sekolah untuk mencemerlangkan lagi pelajarnya.
Akhirnya, masa itu menjelang tiba juga, aku bersama-sama rakan yang lain menuju ke dewan peperiksaan dengan muka penuh keyakinan. Segala soalan dijawab dengan penuh yakin. Ada juga insidenn lucu, sewaktu kertas Sejarah pada hari terakhir, pengawas peperiksaan seperti sudah malas untuk menjaga dewan dan mereka keluar dari situ, (tak tahu apa mereka lakukan), Mursyid ketika itu memandang ke belakang kepadaku dan bertanyakan jawapan untuk soalan sekian sekian, aku membalas dengan menunjukkan jari-jariku seolah-olah memberi kod rahsia kepadanya. huhu
Masa berlalu dengan pantas, bulan 12 keputusan PMR diumumkan. Aku kembali semula ke sekolah kesayanganku itu dengan penuh debaran. Tup tap, alhamdulillah, aku mendapat keputusan yang tidak pernah diimpikan. Akibatnya, aku segera mencukur botak kepalaku sebagai tanda bernazar dan bersykur kepada Allah di atas kejayaanku.
Atas kejayaan itu juga, ia menyebabkan sejarah aku selepas itu berubah. Aku berpindah sekolah asrama lain kerana beranggapan mahu mengubah nasib menjadi lebih baik.
Tetapi, keputusanku itu ternyata silap, SPM tidak sebagus mana dan aku tidak berjaya ke mana-mana, Akhirnya, aku tercampak ke universiti tempatan dan tidak lagi memasuki bidang sains, tetapi ke bidang sains sosial.
Walaupun aku yakin segala yang berlaku ada hikmahnya, namun sehingga kini aku masih berfikir, "Kalaulah aku tidak berpindah selepas PMR, dimanakah aku sekarang?".

*Selamat berjuang kepada adik-adik yang bakal mengambil UPSR, PMR dan SPM. huhu

Tuesday, July 6, 2010

Ukur baju di badan sendiri




Pepatah itu tepat sekali untuk mereka yang ingin mencari jodoh kerana pada zaman sekarang, banyak faktor perlu diambil kira sebelum membuat keputusan mengenai jodoh kita.
Faktor status dan fizikal adalah antara yang menjadi pilihan utama manusia zaman sekarang, sebab itu banyak drama atau filem sering menjadikan ia sebagai tema dalam cerita mereka.
Contohnya, cerita The Notebook di mana si jejaka hanyalah pekerja di syarikat balak manakala si gadis adalah anak keluarga aristokrat. Walaupun pengakhirannya menunjukkan mereka akhirnya hidup bersama, namun dalam realiti aku tidak rasa ia seindah itu.
Begitu juga dalam filem P. Ramlee, Ibu Mertuaku, mengisahkan Kassim Selamat seorang pemuzik yang berkahwin dengan Sabariah Mansoor, anak kepada balu kaya Nyonya Mansor. Konfliknya adalah mengenai perkahwinan yang tidak direstui kerana perbezaan darjat antara si miskin dan si kaya.


Cabaran sudah tentu kepada kaum adam kerana mereka pada persepsi masyarakat dari dahulu hingga sekarang, adalah ketua keluarga, justeru mereka perlu lebih hebat daripada si isteri.
Mana mungkin sekarang kita dapat bertemu lelaki bekerja sebagai kerani berpasangan dengan perempuan bekerja eksekutif. Mana ada lelaki, si buruh berkahwin dengan perempuan si model jelita.
Begitu juga denganfaktor fizikal, wajah dan rupa memang tidak dinafikan menjadi kriteria pertama baik lelaki mahu pun perempuan. Biasa lelaki kacak akan bergandingan dengan perempuan cantik. Ia seperti sebuah skrip yang telah ditulis sejak zaman dulu dan masih dipakai sehingga sekarang. Normanya sebegitu dan bukan salah Tuhan kerana menjadikan rupa kita tidak cantik, tidak kacak dan sebagainya.
Justeru, aku merasakan adalah lebih baik kepada semua manusia terutama lelaki untuk mengukur kembali baju di badan kita dalam soal memilih jodoh. Cari yang sepadan dengan kita kerana ia lebih berbaloi dan menguntungkan untuk jangka masa panjang.
Walaupun Rasulullah S.A.W sendiri pernah mengatakan bahawa carilah wanita beragama sebagai kriteria pertama, namun faktor kecantikan tetap tidak dapat diabaikan.
Seolah-olah, kini kecantikan itu menjadi kiblat utama manusia walaupun aku percaya tidak semua, tetapi boleh diakatakan kebanyakan manusia lebih percaya bahawa memilih kecantikan akan mendatangkan lebih kebahagiaan dalam hidup mereka.
Tepuk dada tanya selera.
Ok. Ini pendapat peribadi aku saja, tak puas hati sila penuhkan ruangan komen secara gentleman.