Friday, July 16, 2010

"Ringgit menguasai segala-galanya"

Romantik. Itu adalah antara intipati yang ada dalam pementasan teater muzikal Uda dan Dara yang sempat aku tonton pada malam tadi di Istana Budaya.
Kisah cinta antara dua kekasih, Uda dan Dara lakonan Razali Hussain dan Misha Omar adalah antara daya penarik untuk mengajak orang datang menonton, tetapi bukan bagi aku kerana aku lebih tertarik dengan Uda dan Dara itu sendiri.
Sebabnya ia adalah karya sasterawan negara yang cukup di segani dan masih diingati sehingga kini lewat karya-karyanya yang cukup berkesan kepada pembacanya.
Beliau turut dikenali sebagai seorang yang romantis dalam karyanya, antara karya lainnya yang terkenal termasuk puisi Ke Makam Bonda.
Usman Awang (kini allahyarham) adalah antara penulis hebat di Malaysia, karya-karyanya sering mendapat perhatian ramai sama ada pada peringkat nasional atau antarabangsa.
Berbalik kepada teater ini yang juga adalah nukilan penerima SEA Write Award tahun 1982 itu, ia mengisahkan percintaan Uda, anak petani miskin dan Dara, anak orang kaya.
Walaupun tahu perbezaan darjat, namun ia bukan penghalang kepada percintaan mereka.
Namun, ia mendapat tentangan daripada ibu Dara yang menganggap Uda tidak layak untuk Dara dan tidak mampu memberi kebahagiaan kepadanya kerana tidak mempunyai Ringgit.
Ya. Persoalan ringgit sering dilontarkan dalam cerita ini, aku anggap ia adalah persoalan utama yang ingin diketengahkan.
Dialog Uda sewaktu berbicara dengan Dara mengenai ringgit ini juga menarik perhatianku.
"Ringgit mampu menguasai segala-galanya"
"Ringgit mampu membeli manusia"
Itu adalah bait-bait dialog yang aku masih ingat.
Benar, pada zaman dulu orang yang mempunyai ringgit (baca : wang dan harta) mampu memiliki apa yang mereka mahu. Mereka boleh membeli kuasa dan darjat.
Ia sebenarnya turut berlaku pada zaman sekarang di mana orang kaya mampu melakukan apa yang mereka mahu, malah mampu mempengaruhi keputusan yang dibuat dalam negara.
Ini yang berlaku apabila Alang Bakhil, orang kaya yang mengambil kesempatan daripada kesusahan penduduk kampung dengan memeras mereka.
Tanah-tanah milik penduduk dirampas dengan cara halus, orang kampung yang terdesak mahukan wang terpaksa berjumpa dengannya memionta tolong dan mereka perlu menebus tanah milik mereka atau menjualnya dengan harga yang murah kepada Alang Bakhil.
Melalui cara inilah Alang Bakhil mengumpul kekayaannya, apabila orang kampung tidak mampu menebus tanah mereka, ia menjadi miliknya dan orang kampung perlu membayar cukai kerana bersawah di atas tanah miliknya yang dirampas itu.
Uda yang tidak mahu mengalah akhirnya nekad untuk ke kota demi mencari ringgit yang dimahukan oleh ibu Dara, setelah pulang dia berjaya mengumpul ringgit dengan bekerja siang malam di kota, namun dia terlambat kerana Dara sudah dipinang oleh Alang Bakhil.
Pada akhir cerita, Uda dan Dara sempat berjumpa di tempat biasa mereka bertemu sebelum Uda mati dibunuh oleh konco Alang Bakhil yang menyerang hendapnya.
Ok. Tak nak berpanjang lebar, lebih elok jika kamu pergi menontonnya sendiri. Serius, tidak membosankan sangat dan 3 jam terasa seperti 30 minit sahaja.
Selamat menonton.

No comments:

Post a Comment