Saturday, July 10, 2010

8 tahun seperti 8 saat.

Ketika catatan ini ditulis, aku sedang berada di dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara di Pasri Mas, Kelantan. Tidak, aku bukan pelajar di sini.
Aku menjadi urusetia untuk program Seminar PMR Skor A Berita Harian selama 2 hari di sini.
Pelbagai ragam pelajar yang menghadiri program ini dapat disaksikan. Lucu, geram dan kagum adalah perkataan yang dapat aku berikan sepanjang 3 hari disini (dua hari lepas berada di Resort PCB juga untuk program sama).
Lucu apabila melihat riak muka mereka yang kelihatan terpaksa hadir ke program ilmu ini, ada juga yang malu untuk masuk ke dewan jika tanpa ditemani rakan mereka.
Geram apabila melihat ada yang tidur, seolah tidak menghargai penceramah yang penat datang dari jauh untuk berkongsi ilmu dengan mereka dan tidak menghargai penat lelah ibu bapa mencari duit untuk membayar yuran program ini.
Kagum melihat kesungguhan pelajar terutama seorang pelajar lelaki yang terpaksa bertopang akibat kemalangan motor, ketika ditanya mengapa dia sanggup datang walaupun cedera, kan lebih elok duduk di rumah berehat.
Dia menjawab "Saya sanggup datang sebab sebulan setengah saya tak datang sekolah, jadi saya tahu saya dah banyak tertinggal berbanding rakan-rakan. Jadi, untuk mengejar semua silibus yang saya tertinggal itu, saya tekad untuk datang walaupun masih belum sembuh sepenuhnya".
PMR mungkin dimansuhkan pada tahun depan dan batch tahun ini mungkin mencatat sejarah sebagai batch terakhir menduduki peperiksaan awam ini.
8 tahun dulu, aku turut mengalami proses sama seperti mereka sekarang. PMR amat dititikberatkan memandangkan ia antara peperiksaan penting terutama bagi sekolah yang sangat mementingkan ranking sekolah.
Penting untuk menentukan kita bakal mendapat aliran mana pada tingkatan 4 nanti selain tiket untuk ke sekolah berasrama penuh.
Justeru, aku sama seperti pelajar tingkatan 3 lain sewaktu itu memandang PMR adalah sesuatu yang sangat penting. Aku berusaha bersungguh-sungguh demi mendapat 9A (aku ambik Bahasa Arab).
Setiap hujung minggu, Jumaat dan Sabtu, aku akan ke kelas tuisyen di Kota Bharu. Pusat Tuisyen Kami adalah antara pusat tuisyen yang tersohor di situ. Bangunannya berhadapan dengan Bazaar Buluh Kubu. Yurannya juga tidak mahal dan berpatutan. Tidak silap aku, hanya RM40 sebulan untuk pakej yang disediakan.
Aku hanya mengambil subjek yang dirasakan lemah seperti BI, Sains, Geografi, Sejarah dan Matematik. Yang lain tidak perlu kerana yakin mampu mendapat A.
Selain itu, pada sebelah malam akan diadakan kelas tambahan inisiatif pihak sekolah untuk mencemerlangkan lagi pelajarnya.
Akhirnya, masa itu menjelang tiba juga, aku bersama-sama rakan yang lain menuju ke dewan peperiksaan dengan muka penuh keyakinan. Segala soalan dijawab dengan penuh yakin. Ada juga insidenn lucu, sewaktu kertas Sejarah pada hari terakhir, pengawas peperiksaan seperti sudah malas untuk menjaga dewan dan mereka keluar dari situ, (tak tahu apa mereka lakukan), Mursyid ketika itu memandang ke belakang kepadaku dan bertanyakan jawapan untuk soalan sekian sekian, aku membalas dengan menunjukkan jari-jariku seolah-olah memberi kod rahsia kepadanya. huhu
Masa berlalu dengan pantas, bulan 12 keputusan PMR diumumkan. Aku kembali semula ke sekolah kesayanganku itu dengan penuh debaran. Tup tap, alhamdulillah, aku mendapat keputusan yang tidak pernah diimpikan. Akibatnya, aku segera mencukur botak kepalaku sebagai tanda bernazar dan bersykur kepada Allah di atas kejayaanku.
Atas kejayaan itu juga, ia menyebabkan sejarah aku selepas itu berubah. Aku berpindah sekolah asrama lain kerana beranggapan mahu mengubah nasib menjadi lebih baik.
Tetapi, keputusanku itu ternyata silap, SPM tidak sebagus mana dan aku tidak berjaya ke mana-mana, Akhirnya, aku tercampak ke universiti tempatan dan tidak lagi memasuki bidang sains, tetapi ke bidang sains sosial.
Walaupun aku yakin segala yang berlaku ada hikmahnya, namun sehingga kini aku masih berfikir, "Kalaulah aku tidak berpindah selepas PMR, dimanakah aku sekarang?".

*Selamat berjuang kepada adik-adik yang bakal mengambil UPSR, PMR dan SPM. huhu

1 comment:

  1. sekurang-kurangnye kau ada peluang untuk menuntut di menara gading x seperti yang lain dambakan isi dalam menara gading tapi ternyata x punya jodoh..bukan yang kita minat tapi bila dah lama jadi asam garam pulak..tgk la ko skang..bakal wartawan tersohor..^_^

    ReplyDelete