Saturday, July 3, 2010

UPSR dan PMR perlu dimansuhkan?

Isu mengenai cadangan untuk memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin mendapat reaksi dan polemik yang pelbagai daripada setiap lapisan masyarakat.
Beliau berhasrat untuk mendapatkan respons daripada semua rakyat Malaysia sebelum membuat keputusan mengenai nasib kedua peperiksaan awam itu.
Bagi aku, aku tidak bersetuju jika UPSR dimansuhkan kerana ia adalah penanda aras penting dalam mengukur prestasi murid darjah 6.
Manakala, aku menyokong pemansuhan PMR kerana tidak nampak kerelevanannya lagi, ia berfungsi sekadar menentukan aliran mana pelajar akan duduki pada tingkatan 4 selain menjadi tiket kepada pelajar untuk ke sekolah berasrama penuh. Itu saja.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), saudara Mohamaed Maliki Mohamed Rapiee dalam kenyataannya di laman web MBM, berkata UPSR merupakan peperiksaan penting yang perlu diteruskan kerana ia dapat menilai keupayaan murid sepanjang berada di sekolah rendah sebelum memasuki alam sekolah menengah.
Peperiksaan awam secara standard ini mampu memperlihatkan kualiti sebenar pengurusan akademik dan ko-akademik sekolah untuk diberi pengiktirafan pihak kementerian.
Bagi peperiksaan PMR pula, MBM menyokong agar ianya dimansuhkan kerana tidak ada keperluan mendesak atau relevannya keputusan PMR itu diguna pakai dalam mana-mana urusan yang melibatkan pencapaian murid.
Aku bersetuju dengan kenyataannya kerana kini sudah tiba masanya sistem pendidikan kita dirombak semula bagi memastikan hasrat melahirkan murid bersifat holistik dan berdaya saing tercapai.
Namun, jika keduanya dimansuhkan, maka murid perlu menunggu selama 11 tahun sebelum diuji dalam peperiksaan SPM (dikira bermula dari darjah 1).
Tempoh masa yang lama ini dikhuatiri dapat menimbulkan pelbagai kesan sampingan kerana tempoh yang lama boleh membuatkan mereka kebosanan dan tiada daya saing untuk belajar.
Tetapi, jika UPSR dikekalkan, maka tempoh yang perlu ditunggu tidak lama dan ia diyakini masih dapat mengekalkan momentum murid untuk belajar.
Memang diakui, sistem peperiksaan di Malaysia terlalu berorientasikan peperiksaan, jumlah A yang diperoleh menjadi kejaran berbanding ilmu itu sendiri.
Tidak hairanlah, ramai pelajar cemerlang mendapat semua A dalam peperiksaannya tetapi tidak cemerlang dalam kokurikulumnya.
Jika ia berlanjutan, hasrat Malaysia untuk melahirkan modal insan berkauliti tinggi tidak akan tercapai, seterusnya merencatkan impian Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2015 kelak.

*Produk UPSR 1998 dan PMR 2002.

No comments:

Post a Comment